EYES OG EAGLE

EYES OG EAGLE

15 November 2014

Menghadapi musim banjir

Setiap kali banjir besar berlaku banyak kerugian terpaksa ditanggung oleh mangsa bencana alam itu. Selain kerugian harta benda, penduduk di kawasan yang terlibat juga perlu berwaspada dalam aspek kesihatan kerana mereka terdedah kepada gejala penyakit. Selain penyakit berjangkit seperti kencing tikus, dan campak, mereka perlu bersedia berhadapan kes ringan seperti batuk, selesema, demam, dan jangkitan penyakit kulit. Mereka yang mengalami tanda-tanda penyakit berkenaan perlu mendapatkan rawatan segera. 
Bagi ibu hamil yang  hampir  bersalin, lengkapkan segala persiapan termasuk untuk bayi yang bakal lahir dan simpan di tempat mudah dicapai. Lebih  baik jika tinggal berdekatan hospital atau di luar kawasan banjir.
 

 Dokumen  penting seperti kad pengenalan dan kad antenatal mesti disimpan rapi. Bagi mengelak masalah ketika bersalin simpan nombor telefon klinik , hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan. 
Banjir juga mengganggu  jadual rawatan bagi pesakit kronik. Justeru mereka perlu mendapatkan bekalan ubat mencukupi dan pastikan kad rawatan serta dokumen penting lain tidak hilang. Selain itu juga mereka yang memerlukan rawatan penyakit berkala seperti hemodialisis perlu memaklumkan kepada pegawai berkenaan untuk bantuan atau dipindahkan ke pusat yang mempunyai peralatan bersesuaian. Ahli keluarga pesakit yang terlantar pula dinasihat mendapatkan bekalan ubat lebih awal untuk pesakit . Kenderaan yang sesuai perlu untuk memindahkan pesakit jika keadaan banjir semakin teruk atau diarahkan oleh pihak berkuasa.  
Jangkitan penyakit terutamanya bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir . Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria, fungus) dan parasit(seperti cacing) akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan. Dalam pada itu, serpihan berbahaya seperti kayu, kaca dan bahan kimia di dalam air banjir boleh menyebabkan kecederaan. Oleh itu mangsa banjir perlu mengelak kecederaan kerana bantuan mungkin sukar diperoleh sementara kuman pula mudah memasuki luka kecederaan walaupun kecil. Bagi mengelak jangkitan penyakit, mereka yang berisiko atau terlibat dengan banjir perlu mengutamakan kebersihan. Golongan yang berisiko ialah kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan pesakit yang lebih terancam jika dijangkiti kuman melalui makanan (dan air) tercemar atau akibat luka kecederaan.  
Walaupun banjir telah surut, jangan terus memasuki rumah kerana anda belum pasti keadaan dalam rumah anda. Sebaik-baiknya periksa dulu  kerosakan dinding, lantai, siling pintu, tingkap serta perhatikan tanda-tanda rekahan atau mendapan yang mungkin melemahkan struktur rumah. Selain itu periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar di samping kerosakan pada tangki septik bagi memastikan jika berlaku pencemaran bahan kumbahan atau bahan kimia serta kebocoran gas, air dan elektrik sekitar kediaman.  
 
Sumber maklumat : Mingguan Malaysia
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan